Showing posts with label Appearance. Show all posts
Showing posts with label Appearance. Show all posts

May 21, 2015

Sewa : Isu dan Konflik Tuan Rumah dengan Penyewa


Pada hari Rabu, 20.5.2015, saya telah muncul di dalam program TV Al-Hijrah, Assalamualaikum di dalam segmen hartanah berbicara tentang Penyewa vs. Tuan Rumah.

Saya ada membuat blogpost tentang kemunculan saya itu di sini (eja segmen pun salah!).

Program Assalamualaikum TV Al-Hijrah ini berlangsung setiap hari di antara pukul 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Ini maklumat tentang program Assalamualaikum yang diambil daripada website TV Al-Hijrah. Jika hendak playback rancangan-rancangan daripada TV Al-Hijrah boleh ke Al-Hijrah Media. Oleh kerana mereka tidak menaikmuatkan semua program mereka, saya ingin mengulas apa yang telah saya bincangkan pada hari itu. Iaitu tentang isu menyewa rumah.

Hos pada hari itu adalah Shahrul dan Sofi
Saya telah diutarakan soalan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh tuan rumah dengan penyewa. Ini berlaku terutamanya jika tiada perjanjian bertulis antara tuan rumah dengan penyewa.

Di Malaysia, kecuali di Bahagian 15, Kanun Tanah Negara 1965, tiada undang-undang spesifik berkenaan sewaan. Bahagian 15 itu secara am menggariskan tentang sewaan sebarang hartanah melebihi tiga tahun akan menjadikan sewaan itu pajakan dan perlu didaftarkan di pejabat tanah menggunakan Borang 15A di dalam Kanun Tanah Negara tersebut.

Kebanyakan sewaan yang dilakukan di kalangan orang awam adalah yang tidak melebihi tiga tahun dan jatuh di bawah sewaan.

Studio TV Al-Hijrah
Selain daripada perlunya perjanjian penyewaan untuk menolong tuan rumah mengutip sewa, ia juga diperlukan oleh tuan rumah untuk menekankan kepada penyewa perkara-perkara berikut :

1) Bila dan bagaimana bayaran sewaan perlu dilakukan. Sebagai tuan rumah, saya mendapati cara terbaik untuk memastikan penyewa membayar sewa adalah dengan penyewa memberi cheque post dated selama setahun. Ini akan memastikan sewa masuk tepat pada waktunya;

2) Memastikan keadaan rumah akan dipulangkan dalam keadaan baik. Saya cadangkan agar gambar keadaan rumah sebelum diserahkan kepada penyewa dimasukkan ke dalam Perjanjian Penyewaan dan ia menjadi panduan untuk penyewa memulangkan dalam keadaan yang sama;

3) Terma tentang apa-apa pengubahsuaian di dalam rumah dinyatakan dengan jelas termasuk meminta kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, membayar deposit kepada pihak berkuasa tempatan dan membayar denda, jika ada;

4) Satu senarai barangan samada perabut atau fittings yang diserahkan kepada penyewa dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaaan tersebut;

5) Deposit rumah yang penuh dibayar pada masa Perjanjian Penyewaan dan penyerahan kunci dibuat. Ramai yang mengabaikan ini dan menyesal apabila penyewa membuat hal. Deposit biasanya adalah 2 bulan jumlah sewa dan 1 bulan sewa untuk sebarang kegagalan membayar bil utiliti;

6) Satu cara yang baik untuk memastikan tuan rumah tidak dibebankan dengan bil utiliti tidak berbayar adalah dengan mendaftar nama penyewa untuk utiliti tetapi syarikat utiliti biasanya membenarkan ini hanya untuk hartanah komersil;

7) Tuan rumah dan penyewa juga kena jelas tentang perkara paling penting iaitu kenaikan harga sewaan (tempoh masa dan jumlah);

Sebelum segmen saya, tetamu mereka termasuk Fynn Jamal bercakap tentang bayi terbuang
Saya juga pernah ditemuramah oleh BFM Radio mengenai penyewaan hartanah komersil. Temuramah ini boleh didengar di podcast di bawah :

Negotiating Commercial Leases

May 19, 2015

TV Al-Hijrah - Temuramah Sekmen Hartanah 20.5.2015


Saya akan muncul di segmen Assalamualaikum TV Al-Hijrah pada Rabu, 20.5.2015 di dalam segmen hartanah untuk berkongsi ilmu tentang masalah dan penyelesaian isu-isu yang timbul apabila menyewakan rumah kepada penyewa.

Berikut adalah soalan-soalan yang ditimbulkan oleh penerbit untuk saya terangkan dalam segmen hartanah tersebut (saya salin secara verbatim) :

FOKUS/SIPNOSIS:

Kekecewaan adalah perkataan yang paling tepat untuk digambarkan kepada pemilik rumah yang memberi sewa kepada penyewa yang suka hati mengubah suai rumah dan tidak menjelaskan bayaran sewa tepat pada masanya. Inilah lumrah yang terpaksa dihadapi pemilik rumah yang menyewakan rumah mereka kepada orang lain. Perjanjian awal di antara pemilik dan penyewa sudah  tentu pelbagai kata-kata manis diberikan.


SOALAN :

1. Sebagai penyewa, apa yang perlu anda lakukan apabila menyewa rumah?
2. Apakah yang dibolehkan dan tidak dibolehkan sebagai penyewa untuk melakukan pengubahsuaian rumah?
3. Mengikut Perjanjian sewa rumah, apakah tindakan tuan rumah sekiranya mereka gagal patuhi?
4. Penyewa sukahati ubah meter.
5. Selain itu, sewa bulanan dilambatkan namun masih mampu untuk mengubahsuai rumah tersebut.
6. Kata-kata akhir pesanan kepada penyewa dan tuan rumah.

Saya akan jawap soalan-soalan yang ditanya dalam rancangan Assalamualaikum esok pagi. Rancangan ini berlangsung di antara pukul 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi setiap Isnin sehingga Ahad secara live daripada Pusat Penyiaran Digital TV Al-Hijrah di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Custom Search