Pada hari Rabu, 20.5.2015, saya telah muncul di dalam program TV Al-Hijrah, Assalamualaikum di dalam segmen hartanah berbicara tentang Penyewa vs. Tuan Rumah.
Saya ada membuat blogpost tentang kemunculan saya itu di sini (eja segmen pun salah!).
Program Assalamualaikum TV Al-Hijrah ini berlangsung setiap hari di antara pukul 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Ini maklumat tentang program Assalamualaikum yang diambil daripada website TV Al-Hijrah. Jika hendak playback rancangan-rancangan daripada TV Al-Hijrah boleh ke Al-Hijrah Media. Oleh kerana mereka tidak menaikmuatkan semua program mereka, saya ingin mengulas apa yang telah saya bincangkan pada hari itu. Iaitu tentang isu menyewa rumah.
Hos pada hari itu adalah Shahrul dan Sofi |
Saya telah diutarakan soalan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh tuan rumah dengan penyewa. Ini berlaku terutamanya jika tiada perjanjian bertulis antara tuan rumah dengan penyewa.
Di Malaysia, kecuali di Bahagian 15, Kanun Tanah Negara 1965, tiada undang-undang spesifik berkenaan sewaan. Bahagian 15 itu secara am menggariskan tentang sewaan sebarang hartanah melebihi tiga tahun akan menjadikan sewaan itu pajakan dan perlu didaftarkan di pejabat tanah menggunakan Borang 15A di dalam Kanun Tanah Negara tersebut.
Kebanyakan sewaan yang dilakukan di kalangan orang awam adalah yang tidak melebihi tiga tahun dan jatuh di bawah sewaan.
Studio TV Al-Hijrah |
Selain daripada perlunya perjanjian penyewaan untuk menolong tuan rumah mengutip sewa, ia juga diperlukan oleh tuan rumah untuk menekankan kepada penyewa perkara-perkara berikut :
1) Bila dan bagaimana bayaran sewaan perlu dilakukan. Sebagai tuan rumah, saya mendapati cara terbaik untuk memastikan penyewa membayar sewa adalah dengan penyewa memberi cheque post dated selama setahun. Ini akan memastikan sewa masuk tepat pada waktunya;
2) Memastikan keadaan rumah akan dipulangkan dalam keadaan baik. Saya cadangkan agar gambar keadaan rumah sebelum diserahkan kepada penyewa dimasukkan ke dalam Perjanjian Penyewaan dan ia menjadi panduan untuk penyewa memulangkan dalam keadaan yang sama;
3) Terma tentang apa-apa pengubahsuaian di dalam rumah dinyatakan dengan jelas termasuk meminta kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, membayar deposit kepada pihak berkuasa tempatan dan membayar denda, jika ada;
4) Satu senarai barangan samada perabut atau fittings yang diserahkan kepada penyewa dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaaan tersebut;
5) Deposit rumah yang penuh dibayar pada masa Perjanjian Penyewaan dan penyerahan kunci dibuat. Ramai yang mengabaikan ini dan menyesal apabila penyewa membuat hal. Deposit biasanya adalah 2 bulan jumlah sewa dan 1 bulan sewa untuk sebarang kegagalan membayar bil utiliti;
6) Satu cara yang baik untuk memastikan tuan rumah tidak dibebankan dengan bil utiliti tidak berbayar adalah dengan mendaftar nama penyewa untuk utiliti tetapi syarikat utiliti biasanya membenarkan ini hanya untuk hartanah komersil;
7) Tuan rumah dan penyewa juga kena jelas tentang perkara paling penting iaitu kenaikan harga sewaan (tempoh masa dan jumlah);
Sebelum segmen saya, tetamu mereka termasuk Fynn Jamal bercakap tentang bayi terbuang |
Saya juga pernah ditemuramah oleh BFM Radio mengenai penyewaan hartanah komersil. Temuramah ini boleh didengar di podcast di bawah :
Negotiating Commercial Leases
No comments:
Post a Comment