December 2, 2008

Hari-hari Terakhir Seorang YB (sebuah novel Malaysia) Episod 16

Hari aku tiba, boss YB masih belum tiba. Oleh kerana tiada program diaturkan, aku dan YB bersama dengan seorang kawannya, seorang usahawan balak pergi berjalan-jalan di merata Dubai bersiar-siar dan membeli belah. Mereka membeli-belah. Aku hanya mengikut saja tanpa apa-apa niat untuk berbelanja. Walaupun masa itu adalah Festival Membeli Belah Dubai.

Kami dibawa berjalan-jalan oleh rakan YB itu ke pelbagai tempat yang dia biasa pergi di Dubai. YB pula sibuk ingin ke satu kedai menjual kain yang pernah dikunjunginya 5 tahun sebelum itu dan di mana gambarnya diambil dan dipamerkan di dada satu akhbar sehingga kemudian menimbulkan kontroversi kerana dikatakan rombongan kerajaan negeri itu pergi membeli belah dan bukannya mempromosikan negeri itu. YB beruntung kerana di dalam gambar yang dipamerkan itu, bossnya, pada masa itu, berada di hadapannya dan dia hanya sedang berdiri melihat bossnya itu meneliti kain yang ingin dibelikan.

Di dalam teksi yang kami naiki, YB menceritakan yang kedai kain itu terkenal kerana kedai itu membekalkan kain pada harga yang murah kepada pramugara dan pramugari MAS yang seterusnya menjualkan kain-kain itu kepada rakan-rakan dan keluarga di Malaysia. Itulah sebabnya pemilik kedai itu sehingga pandai bercakap bahasa Melayu sikit-sikit. Setibanya kami di sana, kami bertemu dengan dua tiga orang YB lain yang sedang meneliti pelbagai kain yang ingin mereka beli. Ada yang datang dengan kawan-kawan dan ada yang datang dengan isteri. Ada yang sedang menelefon isteri (teman wanita?) di Malaysia bertanya tentang ela yang sesuai untuk dibeli dan ada yang membeli pakaian siap. YB pula sebaik kami masuk ke dalam kedai itu terus menunjukkan gambar yang diceritakan tadi yang telah dibingkai dan dinaikkan di dinding kedai itu.

Aku pada awalnya tiada niat untuk membeli kerana aku baru berkahwin 5 bulan sebelum itu dan masih mempunyai banyak kain yang dihadiahkan oleh kawan-kawan aku. Baju bertunang aku pun baru hanya sekali aku pakai. Bila YB nampak aku duduk tanpa niat membeli, dia terus menyuruh aku memilih kerana dia nak belanja. Aku apa lagi. Aku beli untuk aku dan isteri ku kain cukup untuk 2 pasang seorang.

Festival Membeli Belah itu juga menyebabkan semua hotel di Dubai penuh. Aku yang tidak ditempah hotel oleh orang yang men'sponsor' aku berkemungkinan terpaksa menumpang semula rumah bakal ibu mertua rakankongsi ku yang cerewet itu. Aku tidak sanggup untuk meminta dari orang yang susah hendak memberi. Aku membuat keputusan untuk bertanya YB tentang masalah ku.

Sebelum sempat aku bertanya, ada seorang pegawai yang agak tinggi jawatannya dalam kerajaan negeri telah memberi satu nasihat yang membuat aku terkedu. "Kita mesti hargai dapat duduk makan dan berborak dengan orang macam YB ni. Bukan senang dia nak luangkan masa dengan kita. Jangan lepaskan peluang dapat berinteraksi dengan dia dalam rombongan macam ni". Itu semasa makan tengahari. Aku yang tidak ada tempat nak tidur bertanyakan hal aku kepada YB di depan pegawai itu.

"YB, saya ada masalah sikit ni takde tempat tidur. Boleh tumpang bilik?", tanya aku.

"Menyusahkan betullah budak ni... Kau tidur tak berdengkurkan? Kalau kau berdengkur, aku suruh kau tidur luar...", jawab YB sambil ketawa.

Selesai masalah tempat tidur aku dan merah padam muka pegawai itu kerana dia lihat aku akrab dengan YB lebih dari yang dijangkakan...

1 comment:

Anonymous said...

Okey... sambung....

Custom Search