Dalam minggu yang kami diperkenalkan kepada Dato' A, kami terus menghantar profil syarikat kami kepada pejabatnya di Shah Alam. Nama penuh dan alamatnya kami dapatkan dari pembantu peribadi YB. Profil itu kami serahkan kepada seorang pembantu peribadi Dato' A yang kelihatan seperti lebih seperti seorang model dari seorang pembantu peribadi. Mungkin dia banyak 'membantu' dalam pelbagai perkara, fikirku yang senang melabel orang dengan perkara sumbang walaupun tidak mengenalinya dengan lebih dekat. Sama macam apabila aku dan S apabila dilihat orang bersama-sama.
Oleh kerana kami tidak mempunyai despatch sendiri, tugas penghantaran itu jatuh kepada diriku. Setelah profil itu dihantar, setiap selang sehari S menuruti dengan panggilan telefon untuk bertanyakan status panel kami. Dato' A tidak pernah memberi kami apa-apa bisnes kad tetapi apabila aku menghantar profil kami itu, aku telah mengambil semua no. telefon syarikat Dato' A termasuk talian telefon terus ke pejabat Dato' A. Nombor telefon bimbit pembantu peribadi Dato' A itu pun telah berjaya aku perolehi.
Tidak ramai yang memakai telefon bimbit pada masa itu dan ketika aku bandingkan telefon bimbitnya dengan yang aku punyai, telefonnya nampak lebih canggih. Tujuan aku mendapatkan telefon bimbitnya bukanlah kerana aku ingin mengurat dirinya kerana aku nampak dia seperti sudah berpunya tetapi dia seperti seorang yang mudah mesra dan memberi tanggapan yang dia mudah untuk ditawan. Tetapi aku tahu, itu hanya satu lakonan yang digunakan untuk memperolehi pelbagai kemudahan untuk dirinya. Sebagai seorang 'penjaga pintu pagar' kepada Dato' A, dia menggunakan kelebihannya itu untuk menambah koleksi peribadinya.
Semasa S sibuk membuat follow-up dengan pembantu peribadi Dato' A melalui pejabatnya, aku pun sibuk membuat follow-up lain dengannya melalui telefon bimbitnya. Melalui panggilan telefon ku, aku cuba memujuknya untuk keluar dengan aku. Bermacam alasan diberinya untuk mengelak dari keluar dengan aku termasuklah mengatakan yang dia sebenarnya telah bertunang. Aku pula mengumpan dirinya dengan berjanji membawanya makan di sebuah restoran baru yang memang terkenal mahalnya di Shah Alam.
Dalam seminggu selepas aku menghantar profil kami ke pejabat Dato' A, aku berjaya memujuk pembantu peribadi Dato' A keluar minum. Setelah memberikan jaminan yang aku akan menghantarnya secepat mungkin selepas makan malam itu, dia bersetuju. Pandai juga nampaknya aku bermain kata-kata. Nak harapkan rupa memang aku tidak aku miliki dengan perut yang jelas ke hadapan dan rambut yang semakin berkurangan di bahagian hadapan.
Aku tidak mempelawa untuk mengambilnya tetapi berjanji dengannya untuk bertemu di restoran itu. Aku tidak ingin dikatakan hanya membawa Kancil tetapi ada hati ingin mengurat orang yang cantik sepertinya. Ditambah pula dengan harapanku untuk memperolehi maklumat tentang orang-orang penting seperti YB dan Dato' A.
Bila dia tiba, aku membiarkan dia memilih tempat duduk dan memesan makanan di restoran itu. Aku hanya memesan starter sahaja untuk jimat dan dia memesan daging stik yang boleh tahan harganya. Aku gunakan sahaja kad kredit Citibank ku yang memang aku sediakan untuk keadaan seperti ini. Sepanjang tempoh makan itu aku mengorek pelbagai rahsia tentang Dato' A dan YB. Malahan tentang boss kedua-duanya pun aku dapat banyak maklumat.
Memang tidak sia-sia aku mengajaknya keluar dan sebelum berpisah aku berjaya memastikan dia bertanya dengan Dato' A tentang permohonan panel kami. Setelah dia pergi menaiki kereta BMWnya, aku duduk di tempat duduk memandu kereta Kancil ku dan memikirkan tentang ceritanya mengenai Dato' A dan YB....
No comments:
Post a Comment