Tahun kami mengenali YB adalah tahun selepas parti politik YB menghadapi cabaran yang paling mencabar dalam sejarah parti politik itu sejak dipimpin oleh Presiden yang sama sejak 1980-an. Tahun 1999, terjadi pemecatan Timbalan Presiden parti politik YB yang amat popular. Ia menyebabkan terjadi pelbagai tunjuk perasaan dan populariti parti politik yang dianggotai YB merundum jatuh.
YB sendiri dikatakan hampir diragui kesetiaannya oleh Presiden parti politiknya kerana YB memang rapat dengan Timbalan Presiden itu. Malahan nama salah seorang anak YB adalah nama Timbalan Presiden itu. Dia pernah bertanding Ketua Pemuda parti politiknya atas desakan Timbalan Presiden itu. Di saat terakhir, dia menarik diri atas nasihat rakan-rakannya yang lain.
Hanya kerana dari pertandingan yang tidak berlangsung itu, YB sebenarnya boleh bersara sebagai seorang jutawan. Malahan lebih lagi. Banyak penajanya yang membiarkan dia terus memegang semua wang yang telah mereka sumbangkan kerana dia masih diberi kepercayaan untuk menganggotai exco kerajaan negeri di mana dia menjadi ahli dewan undangan negeri. YB masih muda masa itu dan dia adalah exco Pemuda parti politiknya yang paling cerah bintangnya.
Ketika aku mengenali YB, zaman Pemudanya telah lama berlalu tetapi dia tetap berhubung dengan barisan exco Pemuda parti politiknya yang dulu. Dari sini dia mengatur karier politiknya. Ada yang membantu dia dari segi kewangan dan ada yang membantunya untuk memastikan dia sentiasa mempunyai jawatan di peringkat negeri samada di peringkat parti politiknya atau di peringkat kerajaan negeri.
Sebagai exco, pada masa aku mula mengenalinya, dia memegang portfolio sebagai exco yang menjaga belia dan pembangunan usahawan. Di sini dia meminta kami membantunya untuk menggunakan kuasanya dalam memajukan industri kerepek di kawasannya. Ia nampak mudah dan tidak mungkin gagal. Dia boleh memperkenalkan apa-apa syarikat yang kami gunakan kepada pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan pada masa itu. Pintu pelbagai bantuan kewangan dianggap telah separuh terbuka. Pengusaha-pengusaha yang mempunyai produk yang menarik dan sedap ada senarainya di ofisnya. Yang perlu dilakukan adalah untuk aku siapkan satu program yang mampu mengeksploitasi semua kemudahan-kemudahan ini.
Sebagai peguam yang hanya keluar universiti dua tahun sebelum itu, aku bukanlah banyak pengalaman sangat. Rakankongsi ku, S, pun lebih menumpukan kepada melakukan kerja-kerja guaman conveyancing yang berlainan dari apa yang YB ingin kami lakukan. S meminta aku menjadi peguam yang bertanggungjawab untuk menguruskan syarikat yang diinginkan YB tersebut. YB juga ada meminta seorang dari kawasannya aku gunakan sebagai yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja harian di syarikat itu. Dia adalah seorang guru silat di kawasan YB yang juga anggota parti politik YB. Dia memang tidak bekerja sepenuh masa di mana-mana tempat dan sentiasa bertanya kepada YB jika ada apa-apa yang boleh menjana sedikit wang untuknya. Oleh kerana dia adalah salah seorang ketua cawangan di kawasan YB, YB perlu memberi sesuatu untuk meraih undinya nanti, bila perlu.
Dari permintaan YB ini, tumpuan YB beralih dari ingin mengurat S menjadi satu hubungan profesional dengan aku dan firma aku. Aku mengendalikan penubuhan syarikatnya, menjadi pengarah syarikatnya dengan S, melantik setiausaha syarikat yang YB sendiri tidak bertanya siapakah dia dan membuka akaun bank. Akaun bank itu adalah di sebuah bank di kawasan YB kerana YB kenal dengan pengurus cawangan di kawasannya itu. Mudah agaknya untuk dia menyelia akaun itu dan memastikan aku boleh dipercayai. Sekiranya aku ingin kaya sekejap, aku sebenarnya boleh melarikan semua wang yang ada di dalam akaun itu tanpa banyak soal.
Namun, pemikiran ku adalah untuk masa depan dan bukan untuk sekejap sahaja....
No comments:
Post a Comment