Kami ke Dubai kerana menyertai rombongan kerajaan negeri untuk mempromosi negeri tersebut dan cuba mencari pelbagai peluang perniagaan di sana untuk usahawan negeri tersebut. Pertemuan pemadanan bisnes (business matching) dengan peniaga di sana dan makan malam rasmi dianjurkan bersama konsul Malaysia di Dubai, diadakan sepanjang lawatan 5 hari tersebut. Itu adalah aturcara yang rasmi. Aturcara tak rasmi termasuk ber'shopping' sakan serta melawat pelbagai tempat peranginan di Dubai dan sekitarnya.
Nak dijadikan cerita, ketika aku di sana, rakankongsi aku pun berada di sana juga tetapi bukan kerana urusan rasmi. Rakankongsi aku itu akan berkahwin di penghujung tahun 2004 itu dan bakal ibu mertuanya bermastautin di Dubai setelah berkahwin dengan seorang Mat Salleh dari England yang bekerja di sana. Dia telah pergi ke sana satu minggu sebelum itu lagi dan aku pula telah meminta dia datang mengambil aku di lapangan terbang Dubai setibanya aku di sana. Kenapa aku tak ikut sekali rombongan rasmi yang YB dan bossnya ada sekali? Semuanya aku ucapkan terima kasih kepada usahawan lampin aku itu, yang sepatutnya membawa aku ke sana.
Dia telah meminta aku pergi ke Dubai dengannya tetapi dia minta aku beli tiket aku sendiri, tidak mengikut rombongan rasmi itu dan jangan membeli tiket kapalterbang dahulu untuk balik ke Malaysia. Aku terbang ke Dubai menaiki MAS sehari selepas rombongan rasmi tiba di sana dan dia akan tiba 2 hari selepas rombongan itu berada di Dubai. Aku, yang selalunya dilayan oleh usahawan-usahawan berbangsa Cina, yang akan menempah kapalterbang dan hotel serta memberi wang belanja kepada ku awal-awal lagi, pada mulanya meminta kepada YB supaya aku tidak perlu ikut untuk rombongan kali itu tetapi YB berkeras agar aku memastikan yang aku akan berada di sana. Aku akur tetapi menunjukkan yang aku tidak puas hati terpaksa dilayan macam aku meminta sedekah. YB seperti biasa menyalahkan aku kerana tak pandai meminta apa yang patut dan bertanya aku semula samada usahawan lampin itu, "Miskin sangat ke?". Aku yang sudah biasa dengan perangai YB pada masa itu, bertanya dia semula, "Takkan bini tiga takde duit?". Kami tersenyum dan terus membuat perbandingan antara usahawan Melayu dan Cina.
Sebenarnya tiada beza jika dilihat betul-betul. Semua akan sanggup berbelanja jika mereka dijamin akan mendapat pulangan, hasil dari apa yang dibelanjakan. Ada yang sanggup berbelanja di padang golf. Ada yang sanggup berbelanja di spa atau karaoke. Ada yang sanggup memberikan pelbagai hadiah yang tidak diminta ataupun diminta secara 'tidak langsung'. Ada yang sanggup 'membekalkan' apa sahaja yang dipinta termasuklah perempuan atau lelaki (bergantung kepada jantina si penerima). Yang pandai dan berpengalaman akan memberi tunai yang boleh digunakan untuk apa sahaja.
Antara usahawan lampin itu dengan YB aku sebenarnya tidak tahu apa yang diberi olehnya atau apa diterima oleh YB. Yang aku tahu, apabila YB memerlukan aku ada bersama dengannya untuk apa-apa rombongan rasmi atau tidak rasmi, sesiapa yang pada masa itu ingin merapati YB akan terpaksa menanggung tambang dan perbelanjaan aku. Aku pula mudah saja, aku takkan meminta dibawa bersama tetapi tidak akan membelanjakan duit aku sendiri sekiranya aku diperlukan untuk berada di mana YB akan berada. Ini mungkin menunjukkan sifat aku sebagai seorang peguam yang hanya akan mengangkat tangan sekiranya dibayar.
Malam pertama aku di Dubai, aku tidur di ruang tamu rumah yang disewa oleh bakal ibu mertua rakankongsi aku dan pukul 10 pagi aku dihantar ke hotel dimana rombongan rasmi itu menginap. Setiba di sana aku dan rakankongsiku, S, pergi berjumpa dengan YB yang sedang bersarapan dengan ahli-ahli exco kerajaan negeri yang lain. Mereka nampak relaks sikit sebab bos mereka hanya akan tiba pada keesokan harinya. Dia terkejut melihat kami berdua dan bertanyakan tentang usahawan lampin itu. Aku bercerita kepadanya tentang mengapa S ada sekali dan macamana usahawan lampin itu hanya akan tiba di keesokan harinya. Aku bertanyakan YB samada ada tempat untuk aku mengikut rombongan itu pada hari itu dan dia memberitahu yang pada hari itu mereka tidak mempunyai apa-apa jadual tetap. Mereka hanya akan pergi bersiar-siar dan membeli belah.
Kami bertemu dengan seorang rakan YB yang pernah diperkenalkan YB satu masa dahulu dan minum pagi bersamanya. Dia seorang usahawan balak di utara negeri YB dan dia pun mempunyai strategi yang sama dengan usahawan lampin itu. Dia tinggal di hotel lain dan hanya mengikuti program yang dia rasa akan memberi faedah kepadanya. Jika dia terpaksa mengikut rombongan itu ke tempat lain, dia akan mengikut dengan kereta yang disewanya.
Agaknya memang begitu caranya untuk sesetengah orang. Bukannya mereka tidak mampu tetapi caj yang dikenakan oleh pengendali rombongan rasmi kerajaan negeri atau kerajaan Malaysia, menjadikan hanya sesetengah orang sahaja yang mampu atau ingin membelanja sebanyak itu. Pengendali perjalanan ini pula memberi alasan yang mereka terpaksa mengeluarkan wang mereka sendiri dahulu sebelum dibayar dengan waran kerajaan, yang hanya mereka terima setelah 2 atau 3 bulan selepas rombongan itu tamat. Yang terpaksa keluar duit seperti usahawan-usahawan inilah yang digunakan sebagai modal pusingan mereka. Macamana mereka nak hidup jika hanya mengharapkan waran yang lambat dibayar itu.
Lumrah manusia, jika boleh dapat duit cara mudah, kenapa nak susahkan diri sendiri. Itulah yang diamalkan oleh pemandu pelancong itu. Aku bukan kisah sangat. Bukan aku yang keluar duit...
No comments:
Post a Comment