Setelah beberapa minggu, Dato' A akhirnya meluluskan firma kami sebagai salah satu panel peguamnya yang dibenarkan bertindak untuk menangani fail-fail jual beli rumah di syarikatnya. Kami diperkenalkan dengan pegawainya yang mentadbir bahagian jualan dan kami dipanggil berjumpa dengan Dato' A sebelum dia membenarkan kami mendapat apa-apa fail. Kena syarahan panjang lagi....
Kami berjumpa dengan Dato' A di pejabatnya yang baru di Shah Alam. Dia menyewa satu blok bangunan dan ofisnya adalah yang paling atas menghadap panorama kota Shah Alam. Aku senyum kepada pembantu peribadinya sebelum masuk berjumpa dengannya dan pembantu peribadi Dato' A memberi pandangan kepada S yang jelas menampakkan kekagumannya dengan kecantikan S. Muka aku pula boleh nampak bangga dengan kecantikan S yang tiada kena mengena denganku.
Dato' A berada di dalam biliknya dan memandang ke atas apabila kami masuk. Biliknya cukup besar untuk memuatkan 5 pejabat kami. Di atas meja Dato' A ada sebuah komputer yang sentiasa menunjukkan nombor-nombor kecil berwarna hijau yang sesekali berkelip-kelip. Bila aku tanya Dato' A tersenyum dan menerangkan ini adalah hobinya yang mampu membuat duit jika pandai. Bila aku pandang skrin itu betul-betul baru aku faham yang ia menunjukkan pasaran saham Malaysia. Main saham rupanya orang tua ni.
Setelah kami didudukkan di sebuah sofa di satu sudut di bilik itu, Dato' A datang menyertai kami dan duduk di sofa untuk seorang di sebelah kami. Dia memandang kami dari atas ke bawah dan hanya mengangguk apabila kami bertanyakan khabarnya.
"Korang ni agaknya berapa lama boleh tahan jadi partner huh? Aku dah banyak jumpa lawyer semua bila dah 2,3 tahun pecah partnership bukak firm baru. Tak pun berhenti jadi lawyer dan masuk government lah, syarikat besar lah", dia memulakan ceramahnya. Aku dan S hanya diam mendengar. Orang nak bagi kerja, takkan nak bantah-bantah pulak. Dengar je lah...
Dia menceritakan bagaimana dia bermula dengan berniaga di kawasan pendalaman sebelum dia berjaya seperti sekarang. Dia memberitahu yang dahulu dia hanya mempunyai sebuah pasaraya kecil menjual pelbagai barang. Dia kemudiannya membeli sebidang tanah di kampungnya sekuas 3 ekar dan atas saranan kawannya dia memajukannya menjadi projek perumahan.
Dia dengan sendirinya turun naik pejabat tanah membuat permohonan pertukaran syarat, memecah bahagian dan semua yang perlu untuk membangunkan rumah teres. Dia kemudiannya melantik kontraktor yang menipunya setelah dia membayar setengah dari bayaran yang dituntut. Dia hampir putus asa. Kawannya yang memberangsangkan dirinya pada awal itu memujuknya. Dia menjadi tekad dan melakukan semuanya sendiri. Dia akhirnya berjaya menjual semua unit rumah yang dibangunnya sendiri dan dia berjaya membuat untung.
"Kau tahu sapa kawan yang sibuk bagi aku encouragement tu?", kami menggeleng kepada soalannya itu.
"YB korang tu lah... Tu sebab aku terhutang budi kepada dia", kami mengangguk dan memahami kenapa dia seperti terhutang budi dengan YB.
"So, kalau dia bawak korang, aku tolonglah. Tapi, kalau korang menyusahkan aku, tutup firm lah, bawak lari duit lah, aku tak kira, korang ni anak YB ke, sapa ke, aku bantai aje.... Ok?", dia minta kepastian.
S berengsot ke hadapan di tempat duduknya dan berkata "Dato', kami ni memang nak berniaga lama. Mungkin lawyer lain tu bila berkongsi niaga tak kenal sama satu lain. Kami dah kenal 8 tahun lepas, sejak hari pertama matrikulasi. Insyaallah, kami takkan abaikan amanah Dato' dan kami pun tak nak kecewakan YB", aku mengiakan telahan S.
"Ok lah, korang dah paham apa aku nak beritahu, korang buat lah habis baik dan jangan sampai aku dengar apa-apa complain", dia duduk di mejanya semula dan terus membuat panggilan telefon. Kami anggap kami dah selesai dengannya.
"Fuh, penat dengar syarahan dia. Tapi takpelah, kita jadikan cabarannya tu sebagai inspirasi. Kau kalau nak gaduh-gaduh dengan aku, gaitau awal-awal tau...", seloroh aku yangdisambut dengan tamparan ke bahu ku.
Kami ketawa bersama-sama dan merenung jauh ke masa hadapan. Cerah nampaknya kalau berkawan dengan YB ni...
No comments:
Post a Comment