Pada pilihanraya 2004, aku telah diminta oleh YB untuk hadir ke rumahnya apabila Parlimen dibubarkan. Aku yang baru bertukar kereta dari sebuah Proton Iswara kepada Proton Waja telah bergegas ke rumahnya yang telah lama tidak aku kunjungi kerana pada tahun itu aku banyak ke luar negeri dengan YB. Pilihanraya telah ditetapkan pada awal Mac dan aku telah ke Dubai dengan YB pada pertengahan Februari. Shopping sakan. Dubai Shopping Festival lah katakan.
Yang paling aku ingat masa pegi Dubai tu, aku telah di'sponsor' oleh seorang usahawan yang mempunyai kilang lampin di Kelang. Dia usahawan yang menjalankan sistem 'payung' di mana dia membekalkan lampin bayi ke kedai-kedai yang membayarnya secara consignment di mana bayaran hanya dibuat selepas lampin dijual. Melalui sistem ini, dia memberi harga yang lebih murah dari harga di pasaran dan dia mempunyai sebab tersendiri untuk mendekati YB. YB pun ada sebabnya kenapa dia berminat melayan usahawan lampin ini.
Usahawan lampin ini telah berjumpa dengan YB kerana dua tujuan. Yang pertama adalah untuk mencadangkan kepada YB membuka bisnes menjual lampin dan mempromosi jenama-jenama lampin-lampin yang dikilang olehnya secara pengilangan kontrak (contract manufacturing) dengan pelbagai syarikat ternama. Tujuannya yang kedua adalah untuk mendapatkan apa-apa bantuan kewangan dari pelbagai tabung yang dipegang YB dibawah portfolionya sebagai Exco yang terlibat dalam membantu usahawan.
YB pulak memang gemar melayan usahawan-usahawan yang telah berjaya dan sanggup berkongsi pengalaman dengannya. YB satu ketika dahulu pernah berniaga sebagai pembekal barang kepada pejabat-pejabat kerajaan dan perniagaannya amat berjaya tetapi terpaksa ditutup kerana dia akan dilantik sebagai seorang exco oleh bossnya pada masa itu. Dia menutup kedainya yang telah dibina selama 10 tahun dari zaman bujangnya tanpa banyak soal kerana mementingkan karier politiknya. Ketidakpercayaannya kepada sesiapa menyebabkan dia tidak terfikir untuk terus memajukan kedai itu melalui cara proksi. Cuma setelah berjumpa dengan aku dia semakin pandai mempunyai perniagaan tanpa nampak namanya sebagai tuanpunya.
Usahawan lampin ini diminta memajukan satu kedai baru di kawasan YB di kedai kepunyaan YB dan menjadi mentor untuk salah satu program yang dijalankan oleh anak syarikat kerajaan negeri untuk usahawan-usahawan yang baru bertapak. YB juga meminta dia membuat program untuk ibu-ibu tunggal di kawasan YB supaya dapat diserap menjadi usahawan yang akan dididik oleh usahawan tersebut.
Cuma secara berseloroh YB mengingatkan dia agar tidak menambah isteri lagi yang pada masa itu sudah mencapai angka tiga. Kesemua isterinya bekerja dengannya sebagai akauntan, ketua pemasaran dan ketua pegawai operasi. Sudah tentu dia melantik yang paling tua sebagai jawatan terpenting sebagai ketua pegawai operasi untuk memastikan yang lain akan mengikut cakapnya. Pada masa itu, anaknya yang paling sulung dari isterinya yang paling tua telah berumur 15 tahun dan jumlah keseluruhan anak-anaknya telah mencapai 15 orang dari tiga isterinya itu.
Lawatan ke Dubai yang aku ikut itu bukan hanya untuk berbelanja di Pesta Berbelanja Dubai sahaja. Boss YB telah memaksanya mengikut rombongan belajar ke Dubai itu untuk melihat peluang perniagaan di sana. Hampir setiap hari ada sesi 'business matching'. Di akhir lawatan itu diadakan pula satu makan malam besar-besaran dianjurkan oleh kerajaan Malaysia untuk rombongan itu dan akan dihadiri oleh ramai pemastautin Malaysia di Dubai.
Usahawan lampin itu telah bersetuju untuk menaja aku dan meminta aku mewakili syarikatnya di pelbagai mesyuarat yang perlu dihadiri oleh setiap peserta rombongan itu. Melalui penerangan pertama yang aku hadiri, yang sebenarnya satu-satunya penerangan yang diadakan di Malaysia, aku mendapat tahu bahawa setiap peserta perlu berdaftar dahulu dengan MITI dan MIDA sebelum dapat menyertai rombongan itu. Terdapat bayaran yang perlu dibayar untuk mendapat hak istimewa mengikuti semua program.
Tiket penerbangan, pengangkutan yang disediakan di sana dan tempat tinggal dikendalikan oleh seorang pemandu pelancong yang mempunyai hubungan dengan isteri 'boss'. Aku diberitahu oleh kawan aku yang juga pemandu pelancong, harga bagi pakej yang disediakan oleh pemandu pelancong 'tetap' boss itu kebiasaannya tiga kali ganda lebih mahal kerana dia dibayar secara waran oleh kerajaan negeri. Yang menjadi perbalahan dengan orang-orang yang bukan pegawai kerajaan negeri atau ahli parti politik adalah kenapa mereka yang membayar tunai terpaksa membayar harga yang mahal. Dia biasanya membenarkan peniaga-peniaga ini membuat urusan pelancongan mereka sendiri dan membenarkan mereka menaiki bas yang disediakan oleh syarikatnya walaupun mereka tidak membayar apa-apa kepadanya. Walaupun aku menyampah dengan cara dia mendapat bisnes apabila aku mengenalinya di Dubai dan di pelbagai rombongan lain, dia seorang yang ok.
Di Dubai, aku rasa nak tergelak mengenangkan macamana usahawan lampin ini membuat aku terkejar-kejar dari satu hotel ke satu hotel yang lain dan hampir menyebabkan aku tertinggal kapalterbang balik ke Malaysia. Mungkin aku ceritakan di entri yang lain...
No comments:
Post a Comment