October 18, 2008

Hari-hari Terakhir Seorang YB (sebuah novel Malaysia) Episod 3

Pada tahun 2000, firma kami yang baru ditubuhkan masih lagi mencari-cari arah. Kami masih mencuba memasarkan nama kami dengan bertemu dengan pelbagai orang yang kami percaya dapat membantu kami meningkatkan nama dalam senarai anakguam kami. Antara yang kami cuba dekati adalah pemaju-pemaju perumahan dan S mencadangkan agar kami bertemu dengan YB.

S telah mengenali YB sejak kami di universiti lagi. Kakak S bekerja sebagai seorang jurujual dengan satu syarikat pemaju di tengah bandar Kuala Lumpur. Sebagai seorang jurujual yang cekap, dia berani melakukan apa sahaja untuk menjual rumah-rumah yang dibina oleh majikannya. YB memang terkenal dengan sikapnya yang pantang nampak dahi yang licin dan ini telah dieksploitasi oleh kakak S dengan membawa S apabila janjitemu di pejabat YB dapat diperolehi. S pada masa itu masih lagi seorang pelajar tetapi sudah pandai menggayakan pakaian-pakaian yang lebih matang dari usianya. Ini menyebabkan temujanji mereka di pejabat YB tidak pernah kurang dari setengah jam walaupun kerusi-kerusi di luar pejabatnya itu penuh dengan orang-orang yang ingin menemuinya. Melalui temujanji ini, kakak S telah berjaya menjual dua unit dari rumah yang dijual oleh majikannya dan seingat aku, rumah tersebut masih lagi dijadikan YB sebagai rumah sewaannya.

Bagi S, pertemuannya dengan YB tersebut telah dieksploitasikan olehnya untuk tujuan lain.

Pada tahun kedua kami di universiti sebagai pelajar undang-undang, kami ditugaskan oleh fakulti kami, secara amalan turun temurun, untuk mengusai Persatuan Pelajar Undang-Undang dan menganjurkan pelbagai aktiviti. Aktiviti-aktiviti ini secara tradisinya akan diketuai oleh pelajar-pelajar tahun dua dan dipenuhi dengan AJK tahun satu dan tahun dua (yang kebanyakannya akan menjadi ketua-ketua sub-committee). S telah dilantik sebagai Pengarah Makan Malam Amal bagi tahun tersebut.

Makan malam amal ini kebiasaannya adalah tempat di mana pelajar-pelajar membeli satu tempat duduk atau satu meja dan melaram menggayakan pakaian makan malam. Masa untuk makan di hotel bersama pasangan masing-masing. Bagi yang berpacaran dengan orang luar inilah masa untuk memperkenalkan teman masing-masing yang selama ini hanya dilihat apabila keluar ber'dating' sahaja.

Bagi Persatuan Pelajar Undang-Undang, makan malam ini akan menunjukkan kepada senior-senior bahawa pelajar-pelajar yang sedang memimpin persatuan tersebut mampu menganjurkan satu program yang menarik. Malahan sekiranya ia lebih menarik, ia sesuatu yang boleh dibanggakan. S berazam ia akan menjadi yang terbaik semenjak ia pernah diadakan dan ini hanya dapat dicapai jika penajaan pada malam itu dapat dikumpul dengan banyak. Di sini lah peranan YB diperlukan.

Pada malam amal tersebut, YB telah menaja dua meja dan meja-meja ini dipenuhi oleh rakan-rakan S yang kebanyakannya dalah artis-artis baru di Malaysia. Ini dilakukannya melalui bantuan kakak kepada S (yang lagi satu) yang baru saja menjanji penyanyi. Oleh kerana syarikat rakaman yang menerbitkan albumnya masih baru, mereka menaja beberapa artis mereka secara percuma menyanyi di malam amal kami. Artis-artis ini pada masa ini masih lagi berkecimpung di dunia hiburan dan ini telah menjadikan makan malam amal kami antara yang terbaik untuk sekian lama.  

4 comments:

Anonymous said...

in a not so fiction life. I still remember who it was... Is it Innuendo?? wakakkak.........

Anonymous said...

ini kisah benar atau sekadar novel rekaan? :)

Anonymous said...

the dinner with Innuendo as guest was organised by the 12th batch...with showcase from designer Rahman Saif..it was AWESOME!!

Legal Cat said...

It's based on someone I know but its just fiction....

Custom Search