Pada hari yang dijanjikan itu, aku dan S memakai pakaian korporat terbaik kami. Tali leher yang selalunya hanya dibawa ke pejabat tetapi tidak dipakai aku cuba padankan dengan kemeja ku yang ada. Koordinasi warna merah tali leher itu aku padankan dengan baju biru kegemaranku.
S tak payah disuruh. Dia memang hebat jika bergaya. Rambutnya telah di blow di salon rambut yang memang sentiasa dikunjunginya. Baju suit kelabu yang dipakainya menampakkan susuk tubuhnya tetapi cukup untuk memberinya imej korporat. Skirt yang dipakainya jatuh cukup-cukup mencecah lututnya.
Kami tiba ke pejabat dan cuba menyelesaikan kerja-kerja yang ada. Oleh kerana perniagaan kami yang masih baru, pejabat kami yang luasnya hanya 500 kaki persegi tu tidak mempunyai pekerja lagi. Kami melakukan semua kerja dengan sendiri. Kerja yang ada pun hanyalah beberapa fail yang tidak memerlukan perhatian pada hari itu. Kami pun sebenarnya lebih berdebar menanti panggilan telefon dari YB.
Pada pukul 11 pagi YB menelefon handphone S dan bertanya di mana kami akan makan tengahari. Apabila S mengingatkan YB tentang temujanji hari itu, YB terus berkata yang dia telah pun menempah bilik di restoran Cina di Hotel Sheraton Subang Jaya dan meminta kami datang pada pukul 1pm.
Kami sampai awal pada pukul 12.30pm. Kereta kancil ku aku letak jauh sedikit, setelah menurunkan S di lobi hotel itu, bagi mengelakkan dari membayar caj letak kereta hotel. Jimat aku RM5-00. Apabila kami naik ke restoran Cina itu pada pukul 1pm, kelibat YB masih tidak kelihatan. Setelah jam menunjukkan 1.15pm YB menelefon S bertanya di mana kami.
Rupa-rupanya YB telah berada di situ sejak pukul 12pm berbincang sesuatu dengan orang yang ingin diperkenalkan kepada kami itu.
Aku masih ingat lagi bagaimana pertemuan itu berlangsung.
Kami diminta memperkenalkan diri kepada Dato' A. Dia nampak segak dengan kemeja putih dan bertali leher biru muda. Dia nampak masih muda dan menghias dirinya dengan pelbagai barang berjenama seperti jam Tag Haeur dan memakai cermin mata yang berjenama Prada yang jelas dibingkainya. Asli atau tidak aku tidak dapat pastikan tetapi dia memang pandai menggayakannya.
Apabila kami masuk mereka sedang bercakap Jawa sesama mereka dan memerhatikan kami mengambil tempat duduk. YB memperkenalkan kami kepadanya. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan tangan S yang digenggamnya erat. Tangan aku hanya disambut dengan hujung tangannya saja.
"Korang ni boleh ke buat kerja ni?", adalah pertanyaan awal yang diujarnya setelah kami menghulurkan kad kami masing-masing. Apabila kami meminta kadnya, dia enggan memberinya dan terus bertanya soalan itu.
"Kami memang masih baru tetapi sebelum ini kami dah banyak buat bermacam-macam kes semasa bekerja dengan orang lain. Insyaallah kalau diberi kerja, kami takkan kecewakan Dato'" aku menerangkan dengan panjang lebar.
Dipandangnya aku dan dia terus bangun dari kerusinya "Ok lah, nanti kau hantar je company profile kau dan nanti aku decide. YB, saya terpaksa pergi dulu. Bil ni boleh lah dibayar oleh peguam-peguam muda ni. Sesekali belanja YB apa salahnya. Bukan senang nak duduk dengan orang-orang macam kita ni kan?"
YB tersenyum, menyambut huluran tangan Dato' A. Dia hanya mengangkat kening kepada aku dan S sebelum beredar.
"So, amacam? Aku tau korang ingat dia tu nampak sombong, tapi dia tu developer besar tu. Boss kawan baik dia. Aku ni pun kadang-kadang tak dilayannya. Tapi aku tau lah nanti macamana nak bagi dia laju sikit. Korang jangan silap buat kerja dah" YB memberi amaran.
"Ada duit nak bayar ni?" YB bertanya setelah kami habis makan. "Takpe lah. Aku tau korang ni masih baru. Nanti dah ada fail, korang belanja aku pulak" YB membayar semua makanan di atas meja itu dan kami mengucapkan terima kasih sebelum beredar.
"Lepas satu bahana" aku berkata dalam perjalanan pulang. "Nasib baik ada YB" aku lihat S senyum seperti dia pulak yang membayar tadi.
Dalam perjalanan balik itu kami berbincang tentang Dato' A dan tindakan kami seterusnya...
No comments:
Post a Comment