October 16, 2008

Hari-hari Terakhir Seorang YB (sebuah novel Malaysia) Episod 2

Aku mula mengenali YB pada tahun 2000. Aku baru saja membuka sebuah firma guaman di pinggir bandaraya Kuala Lumpur dengan seorang dari kawan perempuanku yang belajar bersama dengan ku di universiti. Firma kami menumpang sebahagian dari pejabat anakguam kami. Ia tidak dibenarkan oleh Majlis Peguam tetapi ia tidak seteruk ketika dua bulan sebelum itu di mana kami berkongsi pejabat kami dengan satu lagi firma guaman yang juga menumpang pejabat orang lain. Kami melakukan ini semua kerana kami memulakan perniagaan kami tanpa bermodalkan apa-apa kecuali keringat.

S, kawan universiti ku itu, memang telah lama ingin meninggalkan firma guaman di mana dia bekerja kerana penat melakukan kerja litigasi di mahkamah yang berulangan tanpa peluang untuk berkembang melakukan kerja guaman lain. Firmanya itu memang terkenal mengendalikan kerja-kerja mempertahankan syarikat-syarikat insurans dalam pelbagai kes kemalangan kereta di mahkamah.

Aku pula telah penat bekerja di kampung asalku di selatan Kuala Lumpur, yang hanya menawarkan kes-kes jenayah kecil seperti kes penagihan atau pemilikan dadah dan kes-kes kecurian. Mengendalikan kes-kes jenayah bukanlah mudah dan berebut kes di pekan kecil dengan peguam-peguam yang lebih senior meletihkan aku.

Setelah bertemu dan berbincang beberapa kali, kami terus memberitahu niat kami menubuhkan firma tersebut kepada keluarga kami. Bagi pihak S, dia memberi notis sebulan kepada majikannya dan bagi aku, aku terus memberitahu niatku kepada rakankongsi ku. Rakankongsi ku telah tahu niatku itu apabila aku pernah menawarkan kepadanya untuk membuka sebuah cawangan di Kuala Lumpur tetapi dia merasakan perniagaan firma guaman yang mengendalikan kes-kes jenayah tidak memerlukan banyak cawangan. Apabila dia menolak tawaran ku, aku tahu aku perlu mencari seorang rakankongsi yang lain.

Sebelum aku bercerita tentang bagaimana aku mengenali YB, aku rasa aku perlu menerangkan bagaimana paras rupa dan perwatakan S. Dia memang mempunyai paras rupa yang menarik dengan kulitnya yang putih dan tingginya yang boleh dikatakan lebih tinggi dari kebanyakan wanita. Mukanya berbentuk bujur dan dia memang pandai bermekap tanpa nampak dia meletakkan mekap yang banyak. Mulutnya kecil mungil dan giginya yang tersusun melengkapkan wajahnya. 

Dia memang tidak pernah bertudung dan rambutnya sudah hilang warna asal seorang wanita Melayu. Sepanjang yang aku ingat warna rambutnya tidak pernah hitam sempurna. Sentiasa diwarnakan samada penuh berwarna emas atau terdapat sedikit 'highlight'. Ia sentiasa digayakan dengan gaya rambut yang dimodelkan oleh pelakon-pelakon Hollywood ketika itu. Pada masa ini, rambut Rihanna yang berbentuk seperti topi keledar yang pendek di belakang tetapi memanjang di depan di kiri dan kanan adalah pilihannya.

Susuk tubuhnya memang boleh dikatakan sentiasa diidamkan oleh wanita untuk dimiliki dan diidamkan oleh lelaki untuk dijamah. Cuma lehernya sedikit pendek dan tidak simetri dengan bentuk badannya. Satu lagi yang mengurangkan daya tarikannya ialah suaranya yang nyaring dan pengetahuannya tentang hal ehwal semasa yang boleh dinomborkan hampir kosong.

Dia juga gemar memakai pakaian yang seksi sejak dari universiti lagi. Skirtnya tidak pernah rendah dari lututnya dan pakaiannya sentiasa yang terkini. Apabila menjadi peguam yang terpaksa mematuhi skima pakaian yang telah ditentukan mahkamah, dia menggunakan kepakaran melaramnya menggayakan pakaian-pakaian korporat yang memberi bayangan jelas kepada apa yang disembunyikan oleh pakaian-pakaian tersebut. 

Melalui dia, aku dapat berkenalan dengan YB. Ceritanya di episod yang lain...

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum saudara.

Wah! Ini sudah ada tanda tanda menjadi novelis terkenal!

Pandai pula tu menulis dengan tajuk yang 'attention grabbing'.

Almaklum sajalah sekarang ini pantang disebut 'YB' semua mata akan tertumpu pada artikel atau laporan berita baik di akhbar maupun dilaman blog!

Ianya angkara berita sensasi tentang YB J yang dikatakan mengaitkan YB Kok?

Hehehehehe...apa apa pun saya ucapkan syabas kepada tuan.

Ada gaya tu!

Nampak gaya dunia novel tanahair kita kan mendapat seorang lagi penyumbang berita ataupun cerita.

Teruskan usaha anda.

Wassalamualaikum wr wb.

Custom Search