October 28, 2008

Hari-hari Terakhir Seorang YB (sebuah novel Malaysia) Episod 8

Selepas pertemuan pertama aku dengan YB di restoran Jepun itu, kami tidak bertemu dengan YB selama beberapa lama. Dia ada beberapa kali ditelefon oleh S dan dia menjanjikan beberapa pertemuan akan diatur dengan beberapa orang.

Hari raya tahun itu datang. Kami memutuskan untuk mengadakan satu jamuan hari raya dan menjemput YB datang. Dia menjemput pula kami untuk datang ke majlis jamuan hari raya di kediamannya di Shah Alam. Walaupun kawasan YB berada di luar Shah Alam, dia selalu mengadakan jamuan hari rayanya di situ kerana terdapat seorang caterer yang amat digemarinya berpengkalan di Shah Alam.

Jamuan yang diadakan amat meriah dengan pelbagai hidangan termasuk seekor unta. Anak-anak yatim dibawa untuk menerima sumbangan dari YB. Tetamu-tetamu dari kawasannya dibawa datang dengan bas-bas yang disewa khas. Terdapat persembahan nasyid dan nyanyian karaoke setelah hari semakin lewat.

Wartawan dipanggil untuk menemuramah dirinya tentang portfolio yang dipegangnya pada masa itu. Artis-artis yang dikenalinya hadir untuk bermesra dengan orang kenamaan yang hadir. Isteri-isteri orang kenamaan memerhatikan suami masing-masing untuk memastikan tiada yang terjatuh hati.

Aku yang selalu mengikuti berita politik dan mengenali muka-muka ahli politik negara tidak lekang dari memandang ke meja orang kenamaan dari tempat duduk aku yang jauh ke belakang. S yang berada dengan ku sibuk pula memerhatikan artis-artis yang hadir. Kami bertukar-tukar maklumat tentang siapa yang kami lihat. S pula tidak perasan mata-mata liar yang memerhatikannya. Aku pula bangga dengan gula-gula mata disebelah ku yang bukan milikku.

Aku yang masih bujang pada masa itu kemudiannya menceritakan pengalaman itu kepada teman wanita ku. Dia yang kemudiannya menjadi isteriku pada awalnya amat kagum dengan cerita-cerita yang aku bawa selepas aku bertemu YB. Sekarang tidak lagi. Malahan, dia menyampah mendengar cerita-cerita YB. Terutamanya apabila dia telah tahu tentang perangai YB sebenarnya.

Minggu berikutnya, pada satu Sabtu, beberapa hari selepas tarikh sebenar bulan Syawal tamat, kami mengadakan pula jamuan raya kami. Kami yang telah menjemput YB berharap yang dia akan hadir dan bertemu dengan anakguam, rakan-rakan dan keluarga kami. Kalau pun tidak lama, mungkin sekejap, sekadar menjamah satu dua juadah.

Jamuan kami diadakan dari pukul 1.00 tengahari sehingga 4 petang dan jemputan kami hanyalah mereka yang biasa kami temui. Ibu bapa aku dan S datang untuk melihat anak-anak mereka cuba menjadi peguam muda yang berniaga. Kawan-kawan kami datang kerana makanan percuma yang dihidangkan. Kami pula berharap YB akan datang untuk menyerikan majlis hari raya kami itu.

Majlis kami sebenarnya adalah acara makan-makan sahaja tanpa sebarang upacara. Apabila kami menjemput YB, kami telah memberitahu sedemikian dan oleh kerana itu dia sanggup hadir, katanya. Apabila aku semakin kenal dengannga, barulah aku faham yang dia memang tidak suka menunjukkan kemesraan dengan sesiapa pun. Dia akan mengelak untuk bertemu dengan aku sekiranya pertemuan itu akan melihatkan keakraban kami.

Apabila dia tahu majlis kami akan hanya dipenuhi dengan kawan-kawan kami, dia berjanji akan menghadirkan diri. Pada pukul 4 petang kami menerima panggilannya dan dia memberitahu yang dia baru sahaja dalam perjalanan. Pada masa itu, hanya tinggal seorang kawan aku dan dia pun sudah bersiap-siap untuk pulang.

YB tiba 45 minit kemudian, kami menyambutnya dan menemani dia makan. Dia memberi komen tentang kedudukan pejabat kami yang agak kecil dan berada di kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas. Kami membalas balik yang kami hanya mampu untuk berpindah ke kawasan baru dan ke pejabat yang lebih luas sekiranya dia dapat membantu kami.

Melihat kesungguhan kami, YB terus menelefon seseorang dan bertanya orang yang bercakap dengannya itu samada YB boleh bertemu dengannya pada minggu depan. Orang itu memberi jawapan dan setelah tamat perbualan mereka, YB memandang aku dan S, dan terus berkata

"Minggu depan, kau berdua pastikan yang hari Selasa kamu tidak ada apa-apa temujanji. Nanti aku telefon kau di mana kita akan berjumpa dan aku nak bawak kau jumpa seseorang".

"Siapa YB?", tanya S.

"Kau datang je lah nanti. Pakai cantik-cantik. Dia tu bukan boleh nampak perempuan cantik", YB bermisteri.

Aku dan S saling berpandangan. Masing-masing berharap kali ini YB akan menunaikan janjinya dan memperkenalkan kami kepada seorang yang berbaloi kami temui.

2 comments:

Anonymous said...

Apak..berapa episod lagi cerita HHTSYB ni? anyway aku enjoy baca cerita 'fiksyen' kau ni...teruskan berkarya.

Anonymous said...

apak! cepat la...
cant wait for the next one!

Custom Search